I want to sing like the birds sing, not worrying about who hears or what they think.

Monday, August 15, 2011

Jangan dilihat pada . . .



بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Benar, jodoh itu ketentuan Ilahi, tapi kita akan ada terma merisik? Salah ke merisik? Tak salah bahkan dianjurkan supaya tak tersalah pilih.

 Untuk Adam, andai mahu mencari Hawa. . .
(1) Jangan dilihat pada purdah mahupun tudung semata-mata, kerna Hawa hari ini tidak lagi seperti dulu, lihatlah pada telapak tangannya, andai mudah telapak lembut itu hinggap pada kulit lelaki lain tanpa lapik, fikirlah semasaknya untuk menyuntingnya. Sesungguhnya memegang bulu anjing itu lebih baik dari menyentuh kulit lelaki atau wanita yang boleh kita kahwini.
(2) Jangan dilihat pada baju labuh mahupun jubahnya semata-mata, lihatlah pada sebujur bibirnya, andai kata-katanya berbisa atau kuat suaranya, fikirlah semasaknya andai hati masih teringin menyuntingnya, khuatir kelak dia membawa fitnah buat si suami, menabur buruk diri si suami.
(3) Jangan dilihat pada cantik ayu wajahnya semata-mata, lihatlah pada sepasang indah mata miliknya, andai tidak redup menunduk pandangan, fikirlah semasaknya andai ingin terus menyunting dirinya, khuatir bila sudah bersuami matanya masih terus meliar memandang segak rupa lelaki lain yang bukan bernama suami.

Untuk Hawa, andai mahu menerima cinta Adam. . . 
(1) Jangan dilihat pada kereta mewahnya semata-mata, lihatlah pada aktiviti malamnya, andai liar hidupnya tika malam menjelma, fikirlah sebaiknya andai mahu menerima, kerna maksiat itu lebih mudah tatkala kelam malam sudah tiba, khuatir juga subuhnya terus leka dibuai mimpi nan indah.
(2) Jangan dilihat pada pakaian berjenama semata-mata, lihatlah pada bahagian kakinya, andai mudah lututnya ditayangkan tatkala lincah di padang bola, fikirlah sebaiknya andai masih mahu menerima, kerna aurat suami itu hanya selayaknya dilihat oleh si isteri.
(3) Jangan dilihat pada tampan paras semata-mata, lihatlah pada mulutnya tatkala berbicara, andai dia mudah menghambur carutan dan sumpah seranah, fikirlah sebaiknya andai masih tegar memilihnya, khuatir apabila bersama kelak, kesalahan kecil anda akan menerima hamburan cacian yang menyeksakan.
Sebenarnya,
ia lebih dari
INI.

"Saudaraku yang kukasihi,
Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekeyaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”.
(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)